Pengenalan

Saya berasa gembira sekali dapat bersama-sama guru-guru dan pelajar sekalian dalam Peraduan Soliloquy anjuran Perkumpulan Seni pada petang Jumaat ini.

‘Soliloquy’, perkataan yang berasal daripada bahasa Latin ‘Solus’ yang bermaksud ‘sendiri’ dan ‘loqui’ yang bermaksud ‘bercakap’ sebenarnya ialah ucapan yang dilakukan oleh seseorang itu kepada dirinya sendiri. Dalam pementasan drama atau sketsa, watak dalam drama tersebut akan bercakap sendiri apa yang difikirkannya.

Manfaat Menyertai Peraduan Soliloquy

Dengan itu, peraduan Soliloquy ini memberi para peserta peluang untuk menyampaikan fikiran mereka dalam bahasa Melayu yang baik – baik dari sudut pemilihan kata, pembinaan ayat, baik sebutannya dan baik dari sudut penyampaian secara lisan. Dengan kata lain, soliloquy melatih peserta bertutur dengan berkesan. Dengan itu, seseorang itu dapat berkomunikasi dengan baik, satu daripada kemahiran yang penting sekali dalam abad ke-21 ini.

Latar Belakang Penganjuran Peraduan Soliloquy

Pertandingan Soliloquy yang keempat ini merupakan acara tahunan Perkumpulan Seni sempena sambutan Bulan Bahasa 2014. Dengan berkerjasama dengan Sekolah Menengah Yusof Ishak dan sokongan dana Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu, MLLPC, peraduan ini menyediakan platform kepada para pelajar untuk mempamerkan kebolehan mereka bertutur dengan fasih. Syabas saya ucapkan kerana usaha yang baik untuk melestarikan bahasa Melayu.

Sebentar tadi, kita bukan sahaja disajikan dengan bakat lakonan 16 peserta dari peringkat sekolah rendah dan menengah, malah kita telah melihat kefasihan mereka berbahasa Melayu dengan berkesan.

Peluang Untuk Mempraktikkan Pelajaran Bahasa Melayu

Para pelajar sekalian, rebutlah peluang yang terdapat untuk mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas Bahasa Melayu. Sertailah kegiatan-kegiatan bahasa Melayu yang dianjurkan untuk para pelajar sekalian – sama ada di balai-balai rakyat atau kelab-kelab masyarakat, perpustakaan negara (NLB), akhbar, internet atau apa sahaja yang dapat menjadikan bahasa Melayu yang dipelajari itu bahasa hidup, yang digunakan dalam kehidupan kita. Sertailah kegiatan-kegiatan sempena Bulan Bahasa 2014 seperti peraduan Soliloquy ini.

Penguasaan bahasa Melayu kita akan hanya menjadi lebih baik sekiranya kita kerap menggunakannya dalam kehidupan seharian. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menggunakan bahasa Melayu dengan rakan-rakan, ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara apabila bertemu dalam kunjungan Hari Raya (kita masih dalam bulan Syawal, ya), majlis perkahwinan atau kenduri-kendara.

Penutup

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, tahniah saya ucapkan kepada para pemenang dan kepada peserta yang tidak berjaya kali ini, saya pasti, pengalaman yang diraih amat bernilai sekali. Cuba lagi tahun hadapan.

Sejambak kasih, sekalung budi saya ucapkan kepada seluruh jentera penggerak Perkumpulan Seni serta para guru Sekolah Menengah Yusof Ishak atas kejayaan menganjurkan majlis pada hari ini.

Bagi saya, usaha PS ini mencerminkan kesungguhannya dalam memainkan peranan memartabatkan bahasa agar ia tidak hilang ditelan arus pembangunan melalui kegiatan yang dapat meningkatkan keupayaan para pelajar menggunakan bahasa ibundanya dengan berkesan dan yakin. Saya yakin ada banyak lagi peluang bagi PS dan sekolah-sekolah kita bekerjasama untuk memperluas peluang bagi pelajar dan ibu bapa menggunakan bahasa ibunda kita serta mengamalkan budi pekerti dan budaya kita.

Akhir kata, kepada para pelajar sekalian, cintailah bahasa kita, jagalah adab dan tutur kata kita dengan orang di sekeliling kita, tidak kira kepada yang tua atau yang muda.

Kapal Pinisi berisi padat,
Dari Makasar langsung ke Deli;
Hidup kita biarlah beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Sekian, terima kasih.