Pengenalan

Gembira sekali saya dapat hadir bersama para ibu bapa, guru-guru dan khususnya, para pelajar sekalian pada pagi Sabtu ini. Tahniah saya ucapkan kepada pelajar sekalian kerana terpilih menjadi Rakan Bahasa untuk Bulan Bahasa 2014.

Tanggungjawab Rakan Bahasa

Sebagai Rakan Bahasa, para pelajar mempunyai tanggungjawab yang penting dan kadangkala berat. Setiap Rakan Bahasa memainkan peranan besar untuk mengalakkan rakan-rakan yang lain menggunakan bahasa Melayu di sekolah masing-masing sekerap yang mungkin. Saya rasa ini adalah beratnya peranan sebagai Rakan Bahasa kerana sudah menjadi lumrah bagi anak-anak muda untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan semasa berhubung, baik di dalam kelas ataupun di luar. Jadi, untuk menggalakkan rakan-rakan yang lain menggunakan Bahasa Melayu bukan cabaran yang kecil.

Sebagai Rakan Bahasa, para pelajar haruslah mempamerkan rasa cinta akan bahasa Melayu dan teruja untuk berkongsi rasa cinta akan bahasa Melayu ini kepada rakan-rakan sekolah pada bila-bila masa. Tidak kiralah sama ada untuk berpantun, berpuisi, menyanyikan lagu Melayu, berpidato ataupun mengambil bahagian dalam pelbagai acara Bahasa Melayu di sekolah.

Apa yang anda lakukan sebagai Rakan Bahasa dalam Bulan Bahasa tahun ini bukan hanya untuk diri sendiri, rakan-rakan, keluarga, masyarakat dan juga negara. Dan ia bukan hanya untuk masa ini, tetapi juga untuk kepentingan masa hadapan. Ini adalah dua perkara yang saya rasa perlu disisip di fikiran anda. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjadi penyambung bahasa dan budaya Melayu kita agar bahasa Melayu kekal relevan bagi generasi masa depan.

Kita perlu maklum ada tiga kemahiran bahasa yang perlu kita dalami. Yang pertama, kemahiran mendengar; kedua, kemahiran bertutur dan ketiga, kemahiran menulis. Kesemua ini diajar di sekolah dan anda diberi peluang oleh guru-guru untuk mengembangkan kemahiran ini. Jika kita tidak berlatih menggunakan Bahasa Melayu dengan ketiga-tiga kemahiran ini, maka sukar untuk kita menggunakannya apabila perlu dan untuk berasa yakin apabila menggunakannya. Kecekapan menggunakan Bahasa Melayu dapat juga meningkatkan jati diri kita serta rasa bangga kita. Semua ini sangat penting dalam pembelajaran sembarang bahasa.

Cara-cara untuk Menjalankan Tugas Rakan Bahasa

Oleh itu, galakkanlah rakan-rakan anda agar kenal, suka, minat dan mungkin jatuh cinta akan keindahan bahasa Melayu seperti anda. Kadangkala, anda akan berasa sukar kerana rakan-rakan anda tidak berminat dengan aktiviti yang menggunakan bahasa Melayu atau tidak begitu fasih dalam Bahasa Melayu. Namun, itulah peranan yang kita boleh berikan pada diri kita sebagai Rakan Bahasa; menjadi penggalak bagi rakan-rakan kita.

Mulakan dengan perkara-perkara yang dapat dikongsi bersama rakan-rakan sekolah seperti menulis post dalam Facebook, Instagram atau Twitter dalam bahasa Melayu, menulis artikel, sajak atau pantun dan tampalkan di papan maklumat kelas atau sekolah dan galakkan mereka melakukan perkara yang sama.

Dengan langkah-langkah kecil seperti ini, Rakan-rakan Bahasa akan dapat melibatkan rakan-rakan sekolah untuk terlibat sama menggunakan bahasa Melayu sekerap mungkin dalam kehidupan mereka. Tambahan lagi, mereka dapat mengukuhkan kemahiran yang dipelajari di dalam kelas Bahasa Melayu mereka.

Berbincanglah dengan guru-guru anda tentang cara-cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan rakan-rakan yang lain terlibat sama dalam usaha baik ini. Walaupun usaha sebegini memerlukan tenaga dan usaha yang lebih, saya yakin, dengan sokongan padu para guru, ibu bapa, apa yang berat boleh menjadi ringan.

Strategi Pengajaran untuk Menarik Minat Pelajar

Guru-guru sekalian, kita maklum cara kita mengajar bahasa Melayu juga penting. Untuk menarik minat, pelajar-pelajar perlulah berasa seronok apabila belajar Bahasa Melayu. Lebih berkesan lagi sekiranya mereka dapat mengalami bagaimana bahasa Melayu digunakan dalam konteks yang asli, autentik dan realistik dalam kehidupan harian. Pengalaman seperti memesan makanan daripada gerai makanan dengan menggunakan bahasa Melayu atau menulis e-mel kepada Berita Harian akan memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan apa yang dipelajari dalam buku teks mereka.

Tidak dapat dinafikan bahawa cara-cara sebegini tidak mudah dilaksanakan, namun saya pasti kesan terhadap pembelajaran bahasa Melayu mereka akan membuat usaha Cikgu-cikgu sekalian berbaloi.

Menyokong Anak-anak Menggunakan Bahasa Melayu

Bagi ibu bapa, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan anda dalam pelantikan anak-anak anda menjadi Rakan Bahasa. Pembelajaran berlaku di sekolah dan juga di persekitaran rumah. Kita dapat menyokong tugas-tugas guru dengan membantu anak-anak kita menggunakan bahasa Melayu sekerap mungkin. Antara cara yang boleh ibu bapa lakukan adalah dengan membawa anak-anak kita menghadiri kegiatan-kegiatan bahasa dan budaya Melayu, menonton filem-filem Melayu atau membaca buku-buku bahasa Melayu bersama.

Bahasa, bagi saya, adalah jendela kepada budaya, termasuk nilai-nilai kehidupan kita. Sebagai pendidik dan juga ibu bapa, kita boleh membantu anak-anak untuk menyelami tata susila dan kesantunan Melayu untuk membentuk mereka menjadi seorang insan yang baik.

Banyak sekali kegiatan yang akan dianjurkan sepanjang Bulan Bahasa nanti dan saya ucapkan syabas kepada Encik Zaqy Mohamad sebagai pengerusi Bulan Bahasa pada tahun ini, dan juga kepada perbadanan-perbadanan Melayu/Islam kita yang terus memberi sokongan kepada usaha untuk mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu.

Penutup

Rakan-rakan Bahasa, lakukanlah tanggungjawab dengan hemah dan penuh kesantunan agar nilai-nilai murni yang terangkum dalam bahasa dan budaya Melayu terpancar dalam diri anda sebagai Rakan Bahasa.

Yang kurik itu kundi;
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi;
Yang indah itu bahasa.

Terima kasih.