Pengenalan

Saya amat gembira dapat bersama-sama anda pada pagi ini di Seminar Bahasa Melayu 2014 anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) dan Unit Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan. Saya juga amat gembira menyambut kehadiran Datuk Zainal Abidin Borhan di Singapura.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Zainal yang sudi berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dengan kita semua pada hari ini. Kehadiran beliau sesungguhnya membuktikan hubungan akrab antara Yayasan Karyawan, Malaysia dan Kementerian Pendidikan (MOE), Singapura.

Menyemai Bahasa Menuai Budi

Saya berasa bangga dengan kehadiran 560 orang guru dan tetamu di seminar tahunan ini. Seramai 137 orang guru akan menyampaikan 38 kertas kerja semasa sidang selari nanti. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah satu rekod baharu. Sambutan hangat ini sememangnya sangat baik memandangkan Cikgu sedang bercuti. Hal ini menunjukkan komitmen atau iltizam Cikgu untuk menimba dan berkongsi ilmu dengan gigih. Syabas saya ucapkan.

Tema Seminar Bahasa Melayu 2014, Menyemai Bahasa Menuai Budi amat menarik kerana kita digalakkan untuk melihat proses pemerolehan dan pembinaan kefasihan berbahasa bukanlah semata-mata terhad kepada pandangan bahawa bahasa sebagai alat komunikasi antara anggota masyarakatnya. Namun hakikatnya, bahasa mencakup kehidupan yang luas. Bahasa mengungkap dan merakam segenap aspek kehidupan masyarakat termasuk aspek budaya, pemikiran, sosial, peradaban dan lain-lain lagi termasuk budi yang mencerminkan daya fikir, kebijaksanaan dan kebaktian yang mampu melahirkan masyarakat yang santun berbudi atau budiman.

Lantas dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, penting bagi kita juga membina pemikiran dan sahsiah para pelajar kita dengan menyisipkan nilai-nilai kesantunan dan etika yang tinggi dalam diri mereka. Gunakanlah seminar ini sebagai platform untuk memikirkan dan bertukar-tukar pandangan tentang kandungan, kaedah dan amalan terbaik untuk mengajar anak didik kita dalam hal-hal tersebut dengan berkesan.

Saya ingin menyarankan tiga cara bagaimana Cikgu dapat membina nilai dan kesantunan dalam diri pelajar. Pertama, selain penting bagi guru untuk mengajar nilai yang disarankan dalam bahan-bahan pengajaran yang dibina oleh Unit Bahasa Melayu, guru juga harus menjadi peran contoh atau role-model bagi pelajar kita. Selain daripada ibu bapa, para pelajar memang erat dengan para guru. Lantas, kita perlu menunjuk cara menyerlahkan nilai dan perlakuan baik yang kita cadangkan kepada para pelajar kita.

Kedua, Cikgu boleh menggunakan cara yang eksplisit semasa berkongsi dan berbincang tentang nilai dan kesantunan dengan para pelajar di bilik darjah. Jalankanlah aktiviti yang bermakna dan menyeronokkan dengan menggunakan bahan yang autentik seperti laporan akhbar atau video supaya pelajar kita lebih faham setelah membaca dan menonton bahan pembelajaran tersebut.

Ketiga, bina situasi ‘nilai dalam tindakan’ (values in action) sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Kembangkanlah peluang bagi para pelajar untuk membina nilai dan mempraktikkan nilai-nilai itu dalam tindakan dan gerak laku mereka. Contohnya, gunakan kegiatan Dwiminggu Bahasa untuk menyerlahkan nilai dan kesantunan yang telah mereka pelajari atau resapi dalam diri mereka. Galakkan mereka untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat di kawasan kejiranan kita. Hal ini pasti akan membantu membina sahsiah positif dalam diri anak didik kita.

Sehubungan dengan ini, MOE dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu ringkasnya, MLLPC, telah menganjurkan tiga buah bengkel di peringkat daerah baru-baru ini untuk melatih guru tentang kaedah menerapkan nilai dan kesantunan Melayu dalam jiwa anak didik mereka. Bengkel yang dikendalikan oleh para pemenang Anugerah Guru Arif Budiman itu telah disertai oleh 100 orang guru. Sebenarnya, sejak 2012, MLLPC telah bekerjasama dengan Institut Pendidikan Nasional (NIE), sekolah-sekolah serta pertubuhan-pertubuhan bahasa dan budaya Melayu, termasuk Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), untuk menganjurkan bengkel-bengkel dan perkhemahan untuk mempromosi nilai-nilai Melayu dalam kalangan murid-murid kita melalui program Kesantunan Melayu. Antara lain, program ini mempunyai matlamat untuk:

  • melahirkan generasi Melayu Arif Budiman yang tinggi budi bahasa dan tahap kesantunannya;
  • membentuk generasi Melayu yang dapat menghargai budaya dan menjadi insan yang menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara; dan
  • mendedahkan murid-murid dengan budi pekerti dan tatatertib dalam budaya Melayu.

Pendek kata, daya usaha ini bertujuan mengukuhkan keupayaan kita melahirkan insan-insan Arif Budiman di kalangan anak didik kita.

Inisiatif Baharu Pusat Bahasa Melayu Singapura

Hadirin sekalian, setelah majlis perasmian bangunan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) dan Fiesta Bahasa Melayu yang dijalankan pada April 2014, MLCS terus memantapkan program pembangunan profesional guru. Dari Januari hingga Mei tahun ini, seramai 1,200 guru telah mengikuti pelbagai kursus yang dijalankan. Sekitar 480 guru telah mengikuti empat sesi perkongsian profesional yang berkaitan Penerapan Aspek Budaya dalam Pembelajaran, Pembelajaran Berasaskan Masalah, Didik Hibur – Pembelajaran Bahasa Menerusi Permainan dan Permainan ICT bagi Sekolah Menengah.

Suka saya mengkhabarkan bahawa buat masa ini Pusat Bahasa telah menghantar 10 Guru Kanan kita untuk mengikuti Program Penyerapan di Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung atas tajaan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu ringkasnya, MLLPC. 22 orang guru pula akan mengikuti Program Penyerapan selama dua minggu di Brunei bermula daripada pertengahan Jun ini dengan sokongan dana daripada Akademi Guru Singapura (AST).

Saya juga gembira MLCS meneroka kegiatan baharu. Bermula daripada Julai hingga Ogos, MLCS akan menjadi tuan rumah kepada seorang mahasiswa daripada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi Program Penempatan Industri. Hal ini ialah satu pengiktirafan kepada keupayaan MLCS dan Kementerian Pendidikan Singapura. Saya pasti usaha APM dan MLCS akan menguntungkan pelbagai pihak yang terlibat.

MLCS juga sedang menyiapkan diri untuk membina Galeri Pendidikan Bahasa Melayu Singapura di bangunannya. Galeri ini akan menyusur sejarah perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Singapura. Galeri ini juga akan mempamer sukatan pelajaran dan bahan pengajaran yang pernah digunakan serta menyerlahkan tokoh-tokoh generasi perintis yang telah menyumbang kepada pengembangan pendidikan bahasa Melayu di Singapura. Semoga kita sama-sama dapat menyokong dengan menyumbangkan bahan-bahan bersejarah yang diperlukan MLCS.

Penutup

Para hadirin sekalian, marilah kita terus berusaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar dan guru Arif Budiman – orang yang berilmu pengetahuan dan bersedia menyumbang kepada masyarakat. Orang yang budiman ialah orang yang berkesantunan atau berbudi bahasa, berbudi pekerti dan berakal budi.

Saya ucapkan tahniah kepada MLCS dan Unit Bahasa Melayu yang telah menganjurkan Seminar Bahasa Melayu 2014 dengan jayanya. Saya juga mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Datuk Zainal Abidin Borhan atas sokongan yang beliau berikan. Semoga seminar dan sesi perkongsian pada pagi ini dapat kita manfaatkan bersama-sama.

Dengan ini saya merasmikan pembukaan Seminar Bahasa Melayu 2014. Sekian, terima kasih.